Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, tindakan kejam rejim Israel membunuh 404 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza adalah jenayah perang yang tidak boleh diterima sama sekali.
"Umat Islam di seluruh negara diseru untuk bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT agar diberikan keselamatan dan kemenangan kepada rakyat Palestin yang ditindas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tegas beliau, Malaysia kekal teguh dalam pendirian menyokong perjuangan rakyat Palestin dan tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman yang sedang berlaku.
"Kami juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan keganasan rejim Israel serta memastikan keadilan bagi rakyat Palestin," jelas Mohd Na'im.
Israel melancarkan serangan udara pada Selasa, turut mencederakan 562 rakyat Palestin sekali gus mengakhiri tempoh beberapa minggu ketenangan relatif selepas rundingan untuk mencapai gencatan senjata kekal terhenti.
Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, saling menuduh antara satu sama lain melanggar gencatan senjata yang secara umumnya bertahan sejak Januari.
Perjanjian tersebut telah memberi sedikit kelegaan kepada 2.3 juta penduduk Gaza ekoran sebilangan besar bangunan telah musnah.
Hamas masih menahan 59 daripada kira-kira 250 tebusan yang didakwa Israel diculik dalam serangan 7 Oktober 2023, menuduh Israel menggagalkan usaha perunding untuk mencapai perjanjian kekal bagi menamatkan pertempuran.
Sementara itu, Israel menahan sekurang-kurangnya 40 lagi rakyat Palestin dalam serbuan tentera terbaru di seluruh Tebing Barat. - Sinar Harian
