KUALA LUMPUR: Pas mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mengadakan solat hajat dan doa Qunut Nazilah di seluruh negara pada Sabtu.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia susulan cadangan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh supaya 3 Ogos diisytihar sebagai hari solidariti terhadap penduduk Gaza dan tahanan Palestin di penjara Israel.

"Justeru, saya dengan ini mengarahkan seluruh ahli Pas dan mencadangkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengadakan solat hajat dan Qunut Nazilah di seluruh negara pada Sabtu ini.

"Semoga Allah memberi pertolongan dan kemenangan kepada rakyat Palestin serta menghancurkan bala tentera Israel dan sekutunya yang bertindak zalim tanpa perikemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Selasa, Ismail menggesa penduduk negara Arab, Islam dan dunia mengadakan demonstrasi dan perarakan Sabtu ini bagi menyatakan solidariti terhadap penduduk Gaza dan tahanan di penjara Israel.

Dalam satu kenyataan di akaun Telegram Hamas, Haniyeh menggesa 3 Ogos menjadi hari kebangsaan dan antarabangsa untuk menyokong Gaza dan tahanan.

Sejak 7 Okt 2023, Israel dengan sokongan Amerika Syarikat melancarkan perang ke atas Gaza, mengakibatkan lebih 130,000 syahid dan cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita.

Lebih 10,000 lagi hilang di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kebuluran yang dianggap bencana kemanusiaan terburuk di dunia.

Tel Aviv masih meneruskan perang dan mengabaikan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mahu ia dihentikan serta-merta termasuk arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.