KUALA LUMPUR: Serangan terhadap petugas kemanusiaan yang berusaha menyampaikan bantuan kemanusiaan ialah jenayah yang tidak boleh diterima dan dikecam oleh seluruh masyarakat dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Merakamkan rasa dukacita dan mengutuk keras terhadap insiden tragis yang menimpa petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam kejadian Sabtu lepas, Mohd Na'im berkata tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu jelas melanggar prinsip asas kemanusiaan.

"Tindakan Israel ini merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva, yang secara jelas melindungi petugas kemanusiaan dalam zon peperangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Na'im berkata agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan terus membantu Palestin dan pada masa yang sama, dunia juga tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman berterusan ini, hanya menambah penderitaan rakyat Palestin yang sudah sekian lama tertindas.

Justeru, beliau menggesa rakyat Malaysia agar terus berdoa serta membaca Qunut Nazilah demi kemenangan Palestin dan terus memberikan sokongan kepada perjuangan mereka.

"Kita perlu bersatu dalam menyalurkan sumbangan dan bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban hidup saudara-saudara kita di Gaza yang semakin terhimpit dengan kezaliman yang berterusan.

"Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin serta semua petugas kemanusiaan yang berjuang demi membantu mereka," katanya.

Sabtu lepas, lapan petugas kemanusiaan MAPIM maut dalam serangan udara oleh rejim Israel di Beit Lahiya, utara Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan serangan berlaku pukul 1.30 tengah hari, ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan Israel.

Lapan petugas kemanusiaan terkorban dikenal pasti sebagai Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad dengan kesemuanya ialah warga Palestin.

-- BERNAMA