JEMPOL: Polis hari ini menahan seorang lelaki yang disyaki mencabul kakak iparnya di Felda Palong 11, Gemas di sini pada 30 Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Hoo Chang Hook berkata insiden itu berlaku pada kira-kira 6 petang semasa mangsa yang berusia 26 tahun berada di rumah mentuanya.

"Suspek yang bekerja sebagai penoreh getah dilaporkan masuk ke dalam bilik mangsa lalu mencabulnya sebelum keluar dari rumah dengan menunggang motosikal.

"Mangsa sudah berada di rumah mentuanya itu sejak sebulan lepas dan mendakwa sebelum ini, suspek tidak pernah mengganggunya. Ini merupakan kali pertama," menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata semasa kejadian, hanya mangsa yang juga ibu kepada tiga anak dan adik iparnya berada di rumah itu.

Hoo berkata suspek yang ditahan pada 12.45 tengah hari di depan sebuah rumah di Bahau didapati memiliki rekod jenayah membabitkan dadah dan ujian air kencing lelaki berusia 24 tahun itu positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA