BANGI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau Global Ikhwan Sdn Bhd yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.


Ringkasan AI
  • Pemantauan dan Siasatan PDRM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau Global Ikhwan Sdn Bhd yang disyaki terlibat dalam eksploitasi kanak-kanak untuk mengutip dana derma.
  • Modus Operandi dan Latar Belakang: Syarikat tersebut didapati menubuhkan rumah amal kebajikan untuk tujuan kutipan derma dan tidak mencarum KWSP serta tidak membayar gaji kepada ahli.
  • Kerjasama dengan Agensi Lain: PDRM bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memantau media sosial yang digunakan untuk mempromosi pemikiran radikal dan ekstremisme.


Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, ia susulan empat laporan terbaharu yang diterima di Selangor.

Ujarnya, PDRM juga sedang mengumpulkan statistik laporan polis di seluruh negara membabitkan syarikat berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 32 (A) Akta Kanak-Kanak 2001.

"... yang mana mereka eksploitasi kanak-kanak untuk memungut dana derma dan sebagainya. mungkin ada lagi laporan lain yang kita sedang kumpulkan," katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Awam ke-20 tahun 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata modus operandi syarikat itu dikesan banyak menubuhkan rumah amal kebajikan bagi tujuan kutipan derma.

Syarikat berkenaan, katanya adalah serpihan sebuah pertubuhan ajaran sesat diharamkan sebelum ini berada dalam senarai 114 kumpulan ajaran sesat dipantau Pasukan Cawangan Khas PDRM.

"Ada juga maklumat mengatakan mereka tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)... tidak bayar gaji, selain mengenakan tindakan kuarantin sekiranya ahli melakukan kesalahan kecil.

"Ahli kumpulan sesat merangkumi semua orang termasuk seperti golongan profesional. Pengaruh mereka tersebar luas. Kalau kita tidak kuat, mungkin akan terpengaruh," ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 80 laporan polis dibuat berhubung aktiviti ajaran sesat sejak 2022 hingga Ogos lalu, dengan seramai 122 individu ditahan berkait aktiviti berkenaan dalam tempoh yang sama.

Bukit Aman, juga ujarnya bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memantau media sosial yang dibimbangi mula menjadi medium mempromosi pemikiran radikal dan ekstremisme.

"Kedua, kita juga bekerjasama dengan JAKIM dan ketiga, kita bekerjasama dengan MCMC untuk mendapatkan bantuan bagi menurunkan, menyekat atau mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesuatu 'posting'.

"Kita memang ada kerjasama yang rapat.Jika dahulu, cara merekrut ahli kumpulan militan, format dan caranya lain. Tetapi, kini semuanya menerusi media sosial," katanya lagi.