PRAGUE: Penyakit 'bluetongue' muncul di Republik Czech buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun, selepas wabak itu dilaporkan di wilayah barat negara itu, lapor Xinhua.

Penyakit itu dikesan pada bangkai seekor biri-biri jantan di sebuah ladang berhampiran sempadan Jerman, menurut kementerian pertanian dalam satu kenyataan pada Jumaat.

"Pada masa ini terdapat lebih 370 ekor biri-biri, lebih 200 ekor kambing dan kira-kira 130 lembu di ladang itu. Semua spesies ternakan itu terdedah kepada jangkitan.

"Sebagai sebahagian daripada langkah itu, tidak ada keperluan untuk memusnahkan haiwan di kawasan tumpuan.

"Zon dengan radius 150 kilometer akan ditanda di sekitar kawasan wabak. Peraturan pergerakan yang lebih ketat akan dikenakan kepada haiwan dari ladang di kawasan ini.

"Penternak akan diarah memantau status kesihatan haiwan dan segera melaporkan sebarang perubahan kepada pihak berkuasa veterinar yang berkaitan," menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, bluetongue adalah penyakit virus yang menjejaskan ruminan domestik dan liar. Ia menyerang spesis biri-biri, kambing dan lembu dan disebarkan oleh serangga penghisap darah, khususnya kutu.

Pada lewat Jumaat, wabak kedua dilaporkan di sebuah ladang di kampung lain, kira-kira lima kilometer dari kes pertama.

Sebanyak empat ekor biri-biri dijangkiti di ladang yang mempunyai lebih 160 biri-biri dan 130 lembu itu.

-- BERNAMA