PRAGUE: Penyakit bluetongue yang menyerang beberapa jenis haiwan ternakan telah muncul semula di Republik Czech buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Penyakit itu dikesan pada seekor kambing biri-biri pembiakan melalui ujian makmal, menurut Kementerian Pertanian di Prague pada Khamis.

Bagaimanapun, virus itu tidak berbahaya kepada manusia.

Wabak semasa penyakit itu bermula di Belanda sebelum merebak ke bahagian selatan dan barat. Kes pada mulanya dilaporkan di Belgium dan kemudiannya di beberapa bahagian di Jerman.

Wabak di Republik Czech dikesan di sebuah ladang di Jindrichovice daerah Sokolov berhampiran sempadan Jerman.

Kambing biri-biri itu menunjukkan simptom biasa penyakit berkenaan termasuk demam, cecair hidung, kesukaran bernafas dan hilang selera makan.

Pihak berkuasa veterinar Republik Czech telah menetapkan zon sekatan dengan radius 150 kilometer di sekitar ladang berkenaan.

Virus bluetongue disebarkan oleh nyamuk dan kebanyakannya menyerang kambing biri-biri serta lembu, namun llama, alpaka, kambing dan ruminan liar juga terdedah kepada jangkitan itu.

Vaksinasi boleh memberikan perlindungan tertentu terhadap penyakit itu.

-- BERNAMA