Kes terbaharu itu dikesan di sebuah ladang lembu di Wonju, 86 kilometer tenggara Seoul.
Bernama
Tue Oct 29 2024
LSD adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit dan menyebabkan ketulan pada kulit, demam, serta kehilangan selera makan, yang sering mengakibatkan pengeluaran susu berkurangan. - AP
SEOUL: Korea Selatan melaporkan satu lagi kes 'Lumpy Skin Disease' (LSD) pada lembu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang disahkan tahun ini meningkat kepada 16, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar pada Selasa.
Kes terbaharu itu dikesan di sebuah ladang lembu di Wonju, 86 kilometer tenggara Seoul.
Kementerian mengeluarkan perintah henti operasi selama 24 jam untuk kakitangan dan kenderaan yang berkaitan dengan ladang serta kemudahan di enam kawasan berhampiran.
LSD adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit dan menyebabkan ketulan pada kulit, demam, serta kehilangan selera makan, yang sering mengakibatkan pengeluaran susu berkurangan dan dalam kes yang teruk, kematian bagi haiwan ternakan.
Penyakit ini disebabkan oleh virus Poxviridae dan merebak melalui gigitan serangga seperti nyamuk dan sengkenit, serta melalui rembesan air liur dan hidung lembu yang dijangkiti.
Bagi mengekang penularan penyakit, kementerian merancang untuk menjalankan prosedur nyahkuman bagi semua kenderaan yang memasuki kawasan ternakan sehingga akhir November.
Sehingga kini, sejumlah 157 ekor lembu ditakai akibat wabak LSD, namun bekalan daging lembu di Korea Selatan dilaporkan tidak terjejas.