PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi tumpuan utama untuk menerajui pengukuhan nilai-nilai keluarga dan masyarakat melalui lima inisiatif utama pada 2025.

Dalam kenyataan pada Selasa, KPWKM memaklumkan, lima inisiatif utama itu ialah pemerkasaan institusi keluarga, pembelaan dan peningkatan profesionalisme wanita serta pemantapan dan kesejahteraan komuniti.

Inisiatif utama lain ialah pembangunan keupayaan dan potensi masyarakat serta pembangunan sektor penjagaan.

KPWKM memaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri turut mengadakan Sesi Townhall Inisiatif Tahun 2025 KPWKM pada Selasa bagi mendapatkan pandangan, input serta cadangan daripada pemegang taruh.

Sesi berkenaan merupakan usaha KPWKM untuk menyediakan inisiatif 2025 yang lebih inklusif selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai tahun lepas.

Seramai 300 wakil dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) hadir menjayakan sesi itu dan KPWKM mengambil cakna terhadap semua input yang diutarakan bagi manfaat semua kumpulan sasar serta penambahbaikan perkhidmatan. - BERNAMA