KANGAR: Sebanyak 60 peratus wanita di Malaysia tidak pernah menjalani pemeriksaan pap smear bagi saringan kanser serviks berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah berkata, statistik itu mencerminkan tahap kesedaran yang masih rendah dalam kalangan wanita mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit terbabit.

"Kanser serviks merupakan ancaman nyata kepada kesihatan wanita, malah ia merupakan kanser ketiga paling kerap dihidapi wanita pada peringkat global dan kanser keenam utama di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Bulan Kesedaran Kanser Serviks peringkat negeri Perlis, di sini, pada Isnin.

Perasmian itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perlis, Wan Badariah Wan Saad. Turut hadir Pengarah LPPKN Perlis, Naemah Ibrahim.

Abdul Shukur berkata, tahap kesedaran yang rendah itu disebabkan beberapa faktor termasuk stigma takut dan malu untuk menjalani ujian meskipun kanser serviks lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berumur sekitar 40-an.

Beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran itu terus giat dilakukan melalui pelaksanaan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sejak 2022 termasuk menyediakan ujian Human Papillomavirus (HPV) DNA secara percuma kepada golongan sasar.

Abdul Shukur berkata, setakat ini, bagi tempoh 2019 hingga 2024, sebanyak 162,581 wanita di seluruh negara telah menjalani ujian HPV DNA, dan daripada jumlah itu sebanyak 10,582 kes positif dikesan manakala untuk tahun lepas sahaja sebanyak 3,038 kes positif dicatatkan.

"Di Perlis, data menunjukkan sebanyak 1,888 wanita telah menjalani ujian HPV DNA dalam tempoh lima tahun dengan 79 kes positif direkodkan. Namun, jumlah itu hanya mewakili 3.3 peratus daripada anggaran 56,700 wanita berumur antara 30 hingga 65 tahun di Perlis.

"Sejumlah 52,735 wanita di Perlis masih belum menjalani ujian ini. Pada 2024, 475 wanita telah menjalani ujian HPV DNA, mengatasi sasaran sebanyak 400 orang, namun 18 kes positif telah dikesan, angka itu menjadikan Perlis negeri ketiga tertinggi kes kanser serviks di Malaysia pada 2024," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan LPPKN menyasarkan 80,000 wanita di seluruh negara menerima manfaat program WCaRe, iaitu 45,000 bagi saringan kanser serviks manakala 35,000 lagi untuk subsidi mamogram.
- BERNAMA