KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mendedahkan penyeludupan diesel di negeri ini menurun sebanyak 95 peratus sejak kerajaan melaksanakan penyasaran bahan bakar tersebut bermula Jun lalu.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, hanya tiga kes dicatatkan selepas tiga bulan ia dilaksanakan.

"Di Kelantan kes penyeludupan diesel sangat berkurangan. Ini membuktikan bahawa langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengekang aktiviti tidak bermoral tersebut berjaya," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Jualan Ihsan Rahmah ATH Group di KB Mall di sini yang turut dihadiri oleh Pengurus ATH Group, Norlisan Ramzai.

Menurut Azman, harga semasa diesel RM3.18 seliter jika dibandingkan dengan negara jiran RM4.20 menjadi faktor ia kurang memberi keuntungan kepada penyeludup.

Ujarnya, sepanjang tahun ini dari Januari hingga Ogos hanya 50 kes penyeludupan diesel dicatatkan berbanding petrol iaitu 228 kes.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, orang ramai juga menyambut baik sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS) yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam usaha memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak.

"Sehingga hari ini kami masih buka kaunter di pejabat untuk memudahkan orang ramai berurusan.
"Kami juga turun ke lapangan untuk bersemuka dengan orang ramai bagi memastikan bantuan kerajaan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula 'Automatic Pricing Mechanism'. -- Sinar Harian