ALOR SETAR: Polis masih menjalankan siasatan susulan penemuan mayat seorang wanita sudah mereput di tebing Sungai Kedah di kawasan Alor Mengkudu, di sini pada jam 2.35 petang Isnin.

Ia bagi mengenal pasti sama ada  mayat mempunyai kaitan dengan seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar sebelum itu menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan satu mayat di tebing sungai.

“Hasil siasatan pihak polis di lokasi mendapati mayat ditemukan dalam keadaan mereput masih lagi lengkap berpakaian dan dipercayai adalah seorang wanita.

“Pemeriksaan pada mayat pula telah menemui sebuah telefon bimbit di dalam poket seluar yang dipakai,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Pada 8 November tahun lalu, seorang wanita dilaporkan hilang setelah motosikalnya ditemui di dalam sungai yang sama iaitu lebih kurang 10 kilometer dari lokasi penemuan mayat pada semalam.

Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Susulan itu juga polis telah memanggil waris kepada perempuan yang dilaporkan hilang sebelum ini untuk tujuan pengecaman dan menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Setakat ini, kes masih lagi diklasifikasi sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat diperolehi,” katanya.