KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kejadian cubaan culik seorang kanak-kanak perempuan di kawasan Bukit Beruntung yang berlaku pada Jumaat lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang wanita tempatan cuba menculik kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Bukit Beruntung.
  • Cubaan suspek gagal apabila kanak-kanak itu berjaya melarikan diri ke kedai berhampiran dan menjerit meminta tolong.
  • Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 363 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.


Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berhubung kejadian pada jam 8.56 malam di Balai Polis Bukit Sentosa.

"Wanita berkenaan memaklumkan anaknya yang berusia sembilan tahun itu dipercayai cuba dilarikan oleh seorang wanita tidak dikenali semasa menunggu van sekolah di bawah blok rumahnya di Bukit Beruntung.

"Siasatan polis mendapati suspek merupakan seorang wanita tempatan cuba melarikan kanak-kanak tersebut, namun gagal apabila kanak-kanak itu berjaya melarikan diri ke kedai berhampiran dan menjerit meminta tolong.

"Saksi awam yang berada di tempat kejadian telah berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu, namun suspek melarikan diri apabila cuba ditahan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Sehubungan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

"Polis menasihati ibu bapa supaya lebih peka terhadap anak-anak serta jangan meninggalkan mereka sendirian semasa di luar rumah kerana ia akan mengundang peluang dan ruang kepada penjenayah.

"Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223," ujarnya.