"Taste of Malaysia" menawarkan para tetamu satu perjalanan menarik menerusi masakan dan budaya Malaysia, mempamerkan cita rasa dan tradisi unik negara Asia Tenggara itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Berucap pada majlis itu, Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai menekankan kepentingan masakan Malaysia, dengan menyatakan bahawa ia mencerminkan kepelbagaian budaya di negara itu.
"Ia adalah cara kami berkongsi budaya Malaysia yang pelbagai, dan kami berbangga diberi peluang untuk berkongsi dengan rakan-rakan Vietnam kami hari ini," katanya.
Hidangan istimewa seperti Nasi Lemak dan Teh Tarik disediakan oleh cef terkenal Malaysia, Azlan Juri untuk memastikan pengalaman menjamu selera yang asli.
Para tetamu yang menghadiri majlis pelancaran juga disajikan persembahan tarian rakyat istimewa oleh kumpulan kebudayaan dari Perak serta pameran seni batik tradisional.
Acara ini menawarkan pengalaman asli kepada para pengunjung mengenai masakan dan warisan budaya negara itu.
"Taste of Malaysia" adalah sebahagian daripada pertukaran budaya antara Vietnam dan Malaysia.
Berkongsi dengan wartawan VNA, Tan Yang menegaskan kepentingan hubungan budaya dua negara dan pertukaran antara rakyat.
"Pertukaran melalui budaya, tarian tradisional serta masakan akan menjadikan hubungan dua hala antara Malaysia dan Vietnam lebih erat," tegas Duta Besar itu.
Acara "Taste of Malaysia" akan berlangsung sehingga 16 September di Hotel Daewoo Hanoi.
-- BERNAMA