"Kopi tidak dihasilkan di Rusia dan produk ini sepenuhnya bergantung pada import... jika kita bercakap mengenai harga purata, keadaan ini kemungkinan tidak akan bertambah baik pada 2025, dan ia mungkin meningkat 20 ke 25 peratus lebih tinggi," katanya.
Jumlah pengeluaran kopi di dunia dibahagikan kepada 70 peratus Arabica dan 30 peratus Robusta, kata Trenin.
"Brazil adalah pengeluar kopi terbesar di dunia dan memenuhi kira-kira satu pertiga daripada permintaan global untuk kopi Arabica. Masalah kemarau di Brazil terus memberi tekanan kepada pasaran... pada masa yang sama, taufan dan hujan yang jarang berlaku di Vietnam, pengeluar Robusta terbesar di dunia, juga dijangka mengurangkan hasil tuaian kopi," kata pakar ACRA itu.
Pasaran kopi Rusia sepenuhnya dipengaruhi oleh bekalan luar negara dan kadar pertukaran dolar AS, yang mewujudkan faktor negatif tambahan yang mempengaruhi kos kopi, kata Trenin. Akibatnya, pengguna di Rusia kemungkinan besar akan terus berdepan dengan kenaikan harga kopi yang ketara, katanya.
Harga kopi di bursa terus mencatat rekod tertinggi bertahun-tahun minggu ini. Pada Rabu, harga kontrak hadapan Robusta untuk Januari meningkat melebihi AS$5,500 setan, tahap yang belum pernah dicapai sejak awal 2008. Harga Arabica pula meningkat melebihi AS$7,300 setan, mencatat rekod tertinggi sejak 1977. Harga kopi Robusta pertama kali melepasi AS$4,000 satu tan pada April dan AS$5,000 pada Ogos.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI