KUALA LUMPUR: Seramai enam warga tempatan dan 43 pendatang asing ditahan dalam operasi bersepadu ke atas enam premis di sekitar Pandamaran, Klang, pada 12 September lalu, kerana disyaki menjalankan aktiviti memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Awam Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, pasukan serbuan turut menyita sejumlah barangan dan jentera dengan anggaran berjumlah RM41.6 juta.

Beliau berkata, kilang yang beroperasi tanpa lesen dan tidak berdaftar itu telah mengaut keuntungan jutaan ringgit dan dikesan menggaji warga asing sebagai pekerja.

“Dalam operasi bersepadu tersebut, pasukan serbuan telah melakukan pemeriksaan terhadap enam buah premis yang memproses barang logam, plastik dan e-waste.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kesalahan termasuk kegagalan mengemukakan dokumen yang sah untuk menjalankan aktiviti pemprosesan di kawasan berkenaan.

“Pelupusan e-waste dan sisa plastik secara haram mengandungi bahan toksik boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan yang serius kepada orang ramai yang terdedah dengan pencemaran ini,” katanya lagi.

Mohd Yusoff berkata, operasi bersepadu itu melibatkan Bahagian Risikan Utama, Wildlife Crime Bureau; bersama Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman (AMLA); Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor; Suruhanjaya Tenaga (ST); Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Antara barangan dan jentera yang dirampas melibatkan 2,800 kg keluli antikarat, 83,700 kg aluminium, 12,000 kg besi dan besi pepejal, 103,000 kg plastik, 50 mesin memproses e-waste, 14 jentera pengangkut, lima kontena, serta dokumen berkaitan.

Mohd Yusoff berkata, kesemua tangkapan dan rampasan di bawah Akta Imigresen 1959/63 itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan selanjutnya.

“Kesalahan di bawah undang-undang kecil pelesenan tred, perniagaan dan perindustrian telah dikenakan kompaun oleh pihak MBDK untuk kesalahan menjalankan aktiviti memproses tanpa lesen.

“JAS Selangor turut bertindak menyita dan mengeluarkan kompaun  di  bawah  Akta  Kualiti  Alam Sekeliling 1974 untuk kesalahan tiada sistem pengolahan efluen bagi aktiviti cucian plastik yang dihasilkan,” katanya lagi.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 14 September tahun ini beliau berkata, 134 serbuan telah dijalankan dan 383 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar dan operasi e-waste.

Keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh yang dinyatakan, tambahnya lagi, dianggarkan berjumlah RM418,240,442.50.