Polis Pulau Pinang memperluas operasi ke Permatang Pauh bagi mengesan dan memburu lima tahanan yang lolos dalam perjalanan ke mahkamah baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata berdasarkan maklumat diperolehi suspek bersembunyi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, lebih ramai anggota polis dihantar ke kawasan itu bagi menjalankan rondaan.

Bagi memudahkan orang ramai membantu polis mengesan suspek, pihak polis mengedarkan 2,000 salinan foto.

Ia diedarkan di sekitar Tasek Gelugor dan Permatang Pauh.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tangkapan lelaki yang dipercayai memberi bantuan makanan kepada suspek, Abdul Rahim berkata, dia dipercayai merupakan rakan suspek.

Hasil penahanan polis mendapati dia memiliki syabu dan mempunyai kesalahan jenayah lampau.

Suspek direman di bawah Seksyen 216 Kanun Keseksaan kerana melindungi suspek dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya.

Khamis lalu, polis menembak mati dua daripada tujuh tahanan yang berjaya meloloskan diri dalam kejadian tembak menembak di Padang Ibu, Bukit Mertajam.