KUALA LUMPUR: Sehari selepas ditolak oleh pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen tradisi keluarganya, Nurul Izzah Anwar berkongsi suara hatinya di akaun Instagramnya.

Sebagai seorang yang berjiwa besar, anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyatakan keterbukaannya menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi-pengundi di Parlimen Permatang Pauh.

Bahkan, Nurul Izzah yang genap usianya 42 tahun semalam (di hari pengundian) merakamkan penghargaan di atas sokongan penduduk di sana selama dia berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Pernah digelar Puteri Reformasi, Nurul Izzah juga secara terbuka memberitahu, beliau akan kembali semula ke gelanggang politik.

“Izinkan saya mengucapkan sepenuh penghargaan buat semua pengundi yang telah menjalankan tanggungjawab semalam.

"Inilah demokrasi yang sentiasa kita pertahankan dalam mana-mana pilihan raya dan saya menerima keputusan ini dengan hati terbuka.

“Jangan bimbang, teman-teman seperjuangan. Berkat usaha, doa, Insya-Allah I’ll be back (saya akan kembali),” tulisnya.


Nurul Izzah menyifatkan peluang mewakili Permatang Pauh sejak 2018 merupakan penghormatan terbesar dalam hidupnya.

“Di Permatang Pauh bermulanya Kajian Kemiskinan Pelbagai Dimensi pasca COVID-19 yang pertama di Malaysia dan akhirnya diangkat di peringkat Economic Planning Unit (EPU) sebagai kaedah menilai kemiskinan dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) merentasi pendapatan semata-mata.

“Terima kasih tidak terhingga di atas peluang dan ruang yang diberikan,” kata Nurul Izzah dalam hantaran itu lagi.

Dalam masa sama, beliau berharap mandat yang diberikan kepada Ahli Parlimen baharu untuk mengemudi Permatang Pauh dapat dijalankan dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan.

Semalam, Nurul Izzah, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) tewas kepada calon Perikatan Nasional-Pas, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272 undi.

Muhammad Fawwaz memperoleh 37,638 undi sementara Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, mendapat 32,366 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (16,971 undi) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang-Putra) meraih 473 undi.