IPOH: Polis Perak mengenal pasti 48 kawasan hitam yang sering menjadi lokasi kemalangan maut, terutama semasa musim perayaan, kata Ketua Polis negeri Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata Gerik mempunyai paling banyak kawasan hitam iaitu sebanyak 15 kawasan, diikuti Manjung (lima); Ipoh, Hilir Perak dan Sungai Siput (empat); Taiping, Muallim dan Kuala Kangsar (tiga); Perak Tengah dan Tapah (dua); Batu Gajah, Pengkalan Hulu dan Selama (satu).

"Kita memang memberi fokus utama (meningkatkan pemantauan) kepada kawasan hitam ini, bagi mengelakkan statistik kemalangan jalan raya di kawasan-kawasan berkenaan meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat 17 dan Kempen Kesedaran Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2022 Kontinjen Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata 1,114 kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang tahun lepas, berbanding 1,946 pada 2020, sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 832 kemalangan.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata seramai 205 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang Op Selamat 17 yang bermula Jumaat sehingga 6 Feb ini dengan memfokuskan pada penguatkuasaan yang berhemah dan tegas terhadap enam kesalahan lalu lintas utama, melancarkan pergerakan lalu lintas serta pencegahan jenayah.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata polis turut melakukan rondaan di kawasan perumahan dan premis yang ditinggalkan sepanjang Tahun Baharu Cina.

"Orang ramai disarankan untuk memaklumkan kepada pihak polis tentang ketiadaan di rumah sebelum pulang ke kampung, menerusi borang maklumat balik kampung yang boleh diperoleh di balai-balai berhampiran atau portal rasmi PDRM," katanya.

-- BERNAMA