IPOH: Seorang pemilik restoran nasi kandar warga Bangladesh didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM10,000 kepada seorang pegawai Imigresen bulan lalu.

Tertuduh, Rezaul Shajahan Ali, 37 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda dan wang rasuah RM10,000 dilucuthakkan di bawah Seksyen 40(1) (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kepada kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memberi suapan wang tunai RM10,000 kepada seorang pegawai Imigresen di Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.

Ia sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap 13 orang pekerjanya yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963, serta Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Bapa kepada lima anak itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di pejabat Imigresen Perak di Kompleks KDN, Persiaran Meru Utama, Bandar Meru Raya, Ipoh kira-kira jam 3.30 petang, 12 Sept 2024.

Dia dituduh mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Sharul Azuan Ghazali dan Mohd Afiq Adnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.