IPOH: Seorang buruh pertanian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak rakannya yang berusia 14 tahun, Julai lalu.

Tertuduh, Wan Muhamaad Sofie Wan Supian, 26 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang, didakwa melakukan rogol terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang juga anak kepada rakannya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Sungai Timah, Mukim Bandar, dalam daerah Perak Tengah, kira-kira jam 10 pagi, 2 Julai lalu.

Wan Muhamaad Sofie didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan tertuduh dijamin, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengenakan jaminan yang minimum kerana mempunyai pendapatan RM50 sehari sebagai pengangkat baja.

Selain itu, sebagai anak sulung dia juga perlu menanggung lima orang adiknya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, di samping syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis sekali bagi setiap dua bulan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 25 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.