PARIS: Dominique Pelicot, yang disabitkan bersalah sebagai tertuduh utama dalam perbicaraan kes rogol bersiri di bandar Avignon, Perancis awal bulan ini, memutuskan untuk menerima hukuman penjara 20 tahun, kata peguamnya pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Dominique Pelicot telah memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang dijatuhkan ke atasnya," kata Beatrice Zavarro kepada penyiar France Info.

Lelaki berusia 72 tahun itu tidak mahu bekas isterinya, Gisele Pelicot, menghadapi tekanan daripada perbicaraan rayuan, jelas Zavarro. Bagaimanapun, beliau akan cuba mempengaruhi syarat tahanannya di penjara.

Mahkamah Avignon mendapati Pelicot bersalah pada 19 Dis atas kesalahan rogol teruk terhadap isterinya ketika itu, Gisele. Dia secara diam-diam memberikan dadah pelali kepada isterinya dan membenarkan puluhan lelaki merogolnya selama hampir 10 tahun.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun ke atas 50 tertuduh lain.

Daripada jumlah itu, 17 telah memfailkan rayuan setakat ini, dengan tarikh akhir berakhir pada Isnin malam.

Zavarro menyatakan bahawa jika separuh atau lebih daripada separuh lelaki yang disabitkan kesalahan mengemukakan rayuan, adalah wajar untuk mendengar keterangan daripada semua tertuduh.

Sehari selepas mahkamah Avignon menjatuhkan hukuman, Gisele melalui peguamnya, Stephane Babonneau, menyatakan bahawa dia tidak gentar untuk menghadapi pendengaran rayuan itu.

"Dia sudah memberitahu kami bahawa dia bersedia menghadapinya sekiranya ia berlaku - tetapi tentunya jika kesihatannya mengizinkan, memandangkan usianya kini 72 tahun," kata Babonneau kepada penyiar France Inter. - BERNAMA