Polis menafikan pergaduhan antara dua kumpulan yang melibatkan 40 lelaki di pusat membeli-belah Wangsa Walk, Wangsa Maju di sini semalam adalah pergaduhan antara kaum.

Ketua polis daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata pergaduhan tersebut dipercayai kira-kira jam 6.30 petang itu kini menjadi viral setelah dikongsi di laman-laman sosial.

Insiden dipercayai berlaku apabila seorang pemuda yang dipercayai abang kepada seorang gadis berusia 14 tahun berang selepas terserempak dengan adiknya bersama lelaki yang tidak dikenali di aras bawah pusat beli-belah tersebut. Abangnya mula bertindak memanggil beberapa rakannya.

Teman lelaki gadis berkenaan kemudian turut memanggil beberapa rakan sehingga tercetusnya pergaduhan.

Menurut Mohamad Roy, pergaduhan itu melibatkan seramai 40 remaja berusia dalam lingkungan 15 hingga 29 tahun. Mereka menggunakan pelbagai jenis senjata yang terdiri daripada topi keledar, kayu dan besi.

Sehingga kini, polis telah menahan 11 individu yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan terbabit.

Polis kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek utama.

Kes akan disiasat mengikut seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.