LIPIS: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang mengambil inisiatif memasang kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi panas sepanjang laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Kuala Lipis - Gua Musang sejak awal bulan ini.


Ringkasan AI
  • SWCorp Pahang telah memasang CCTV di sepanjang laluan LTU Kuala Lipis - Gua Musang untuk mengawasi isu pembuangan sampah dan kesalahan pengguna jalan raya, terutamanya semasa waktu puncak seperti musim perayaan dan cuti sekolah.
  • Sharudin Hamid, pengarah SWCorp, menyatakan kerjasama dengan MDL untuk mengenal pasti individu yang membuang sampah merata-rata. Tindakan penguatkuasaan seperti kompaun dan notis amaran akan diambil terhadap pengguna jalan yang tidak bertanggungjawab.
  • Alam Flora Lipis juga turut menyediakan tong sampah di lokasi panas untuk memudahkan pengguna jalan membuang sampah sempena Aidiladha. MDL berharap agar isu pembuangan sampah di tepi jalan dapat dikurangkan untuk meringankan beban petugas pembersihan.


Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, ia bagi mengatasi isu pembuangan sampah serta kesalahan lain yang dilakukan oleh pengguna jalan raya terutamanya pada waktu puncak seperti musim perayaan dan cuti persekolahan.

Menurutnya, setiap tindakan pengguna yang tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah merata-rata akan diperhatikan melalui CCTV.

"Pihak SWCorp juga telah bekerjasama dengan Majlis Daerah Lipis (MDL) untuk mengenal pasti individu yang melakukan kesalahan terutama membuang sampah merata-rata di laluan tersebut.

"Tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya pengguna jalan raya masih berdegil dan tidak mengambil serius perkara ini," katanya.

Tambah beliau, tindakan kompaun dan notis amaran boleh dikenakan pada bila-bila masa jika berlaku kesalahan berulang.

Sharudin berkata, pihak Alam Flora Lipis juga telah menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyediakan tong sampah di lokasi panas untuk kemudahan pengguna jalan raya membuang sampah sempena Aidiladha.

Sementara itu, Yang Dipertua MDL, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim berkata, masih terdapat segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab dikesan menerusi CCTV terbabit sejak beberapa hari lalu.

"Ada yang buang sampah, air kencing tepi jalan dan ada juga amalkan sikap bertanggungjawab membuang di tong yang disediakan.

"Kita berharap isu lambakan sampah di tepi jalan sebelum ini tidak lagi berlaku, kesian dengan petugas-petugas yang membersihkan lokasi terlibat," katanya. - Sinar Harian