BUTTERWORTH: Tiada Orang Kena Tahan (OKT) berhubung kes dadah yang meloloskan diri dari Mahkamah Butterworth di sini seperti tular di media sosial hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt C.Tharmalingam berkata sebaliknya OKT lelaki tempatan itu dibebaskan selepas mahkamah membenarkan dia diikat jamin.

"Polis menafikan gambar dan audio yang tular itu serta meminta orang ramai tidak terus menyebarkannya kerana ia tidak benar.

"Berdasarkan pemeriksaan polis, tiada OKT yang lolos di mahkamah hari ini sebaliknya lelaki berusia 36 tahun itu dibebaskan selepas diikat jamin RM3,000 bagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, tular rakaman audio dan gambar OKT di media sosial yang mendakwa dia berjaya meloloskan diri dari Mahkamah Butterworth dan pihak polis sedang giat mengesannya di sekitar kawasan berkenaan.

-- BERNAMA