BATU PAHAT: Polis giat mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Bukit Perdana di sini, Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, lelaki berusia 43 tahun itu yang dikenali sebagai Edwin Soo Seng Kok juga gagal dihubungi ahli keluarga yang melaporkan kehilangannya itu.

Malah ahli keluarganya berkata, Edwin yang tinggal bersendirian di rumahnya, meninggalkan lampu, kipas dan penyaman udara di rumahnya terpasang.

“Polis mengesahkan mengenai kejadian dan menerima laporan daripada salah seorang ahli keluarga mangsa.

“Bagaimanapun, pada jam 9 pagi Khamis, kereta milik mangsa telah ditemui ditinggalkan di kawasan kebun kelapa sawit di Parit Raja dalam keadaan tayar hadapan tersangkut dalam kawasan tanah berlumpur.

“Beberapa penduduk memberitahu ternampak mangsa berjalan seorang diri di sekitar kawasan tersebut dan meminta kebenaran untuk meminum air paip serta berehat sebentar di halaman rumah mereka sebelum hilang,” katanya.

Sementara itu, Shahrulanuar Mushaddat berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan di sekitar kawasan lokasi kereta mangsa ditemui.

Katanya, usaha pencarian juga dibuat di kawasan taman perumahan, rumah kedai dan pekan-pekan berhampiran. - Sinar Harian