IPOH: Seorang nelayan berusia 30 tahun dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh daripada bot sewaktu membaiki kenderaan itu di sebuah pelantar ikan di Hutan Melintang di Bagan Datuk petang semalam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bagan Datuk dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan pada 5.06 petang dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Polis Bagan Datuk berhubung laporan orang hilang di pelantar ikan Hutan Melintang.

“Maklumat awal kejadian, seorang lelaki dewasa yang dikenali sebagai Ng Kawai telah terjatuh dari bot ketika cuba menyeberangi bot yang lain,” katanya.

Susulan itu APM telah menggerakkan satu pasukan anggota daripada pusat kawalan operasi daerah (PKOD) Bagan Datuk ke tempat kejadian untuk tujuan pencarian dan pemantauan.

“Pada 5.23 petang seramai tiga pegawai, empat anggota serta satu ambulans telah diatur gerak ke lokasi Kilang QL Hutan Melintang.

"Selain itu turut serta dalam operasi adalah 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan lima anggota polis.

“Pos kawalan APM dibuka dan anggota telah membuat operasi mencari di tempat kejadian bagaimanapun operasi ditangguhkan dan akan bersambung esok,” katanya.

-- BERNAMA