PUTRAJAYA: Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Korea Selatan dan Thailand yang sedang berduka susulan tragedi yang menimpa pesawat Jeju Air 7C2216 pagi Ahad.


Ringkasan AI
  • Anwar Ibrahim berasa amat sedih dengan insiden tragis yang berlaku di Lapangan Terbang Muan, Korea Selatan, dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
  • Beliau menekankan bahawa doa dan ingatannya bersama keluarga dan orang tersayang yang kehilangan nyawa dalam tragedi tersebut.
  • Anwar mengingatkan kita untuk menghargai orang di sekeliling kita, terutama dalam masa yang sukar ini, kerana kehidupan adalah berharga dan rapuh.


Dalam satu perkongsian di laman media sosialnya, Perdana Menteri berkata, beliau secara peribadi berasa amat sedih dengan insiden tragis yang berlaku di Lapangan Terbang Muan, Korea Selatan itu.

Kata Anwar lagi, doa dan ingatan beliau bersama keluarga dan orang tersayang yang kehilangan nyawa dalam tragedi yang memilukan itu, serta mengucapkan takziah kepada semua yang terkesan.

“Pada masa di mana ramai di antara kita berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan, merenung tahun yang berlalu dan menghargai orang tersayang, kehilangan yang dahsyat ini mengingatkan kita betapa berharganya dan rapuhnya kehidupan.

“Marilah kita mengambil masa untuk menghargai mereka di sekeliling kita,” katanya lagi.


Terdahulu media melaporkan, pesawat penumpang dengan 175 penumpang, termasuk 173 warga Korea Selatan dan dua warga Thailand, serta enam kru, terhempas ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 km barat daya Seoul, pada jam 9.07 pagi Ahad.

Pesawat berkenaan yang berlepas dari Bangkok, Thailand, terbabas dari landasan dan merempuh dinding luar landasan sebelum terbakar.

Kesemua penumpang dianggap meninggal dunia, kecuali dua anak kapal berusia 33 dan 25 tahun. Operasi mencari mangsa masih diteruskan.

Pihak berkuasa berkata insiden itu mungkin berpunca daripada serangan burung yang membawa kepada kegagalan gear pendaratan.