KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perumahan Awam Desa Rejang di Setapak di sini, sudah masuk hari ketiga.

Bagi penduduk, perkara paling memberi tekanan ketika ini adalah bekalan makanan termasuk barang basah yang terhad disebabkan kedai runcit di kawasan itu tidak beroperasi, malah mereka juga tidak dibenarkan membuat pesanan secara dalam talian.

Tiada pilihan lain, mereka kini hanya berharap kepada bantuan yang disalurkan pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun, masalah itu tidak selesai kerana penduduk mendakwa barang bantuan diberikan juga amat terhad dan tidak mencukupi, lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai isi rumah yang ramai.


PKPD | Penduduk PPR Desa Rejang dilarang pesan makanan

Menurut seorang penduduk, Norain Sulaiman, 35, mereka menerima satu kotak bantuan makanan pada Sabtu.

"Kami dapat beras lima kilogram, gula, tepung gandum, dua paket biskut, dua tin kecil sardin kecil. Setakat ini kita baru dapat satu kotak itu sahaja.

"Kami bersyukur, cuma itulah... tak tahu nak cakap apa... kalau (untuk) 14 hari banyak itu saja, memang tak cukup. Kalau keluarga yang tak ramai mungkin tak ada masalah, tapi yang rumah ramai tu tak cukup.

"Bayangkan satu rumah ada lebih daripada lima orang, dengan bahan makanan sebanyak itu, memang tidak cukup. Kita harap bantuan susulan akan diberikan selepas ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Barangan bantuan yang diberikan semalam kepada penduduk PKPD Desa Rejang. Gambar: Ihsan penduduk

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Asmawi Juri, 49, pula berpendapat beberapa keperluan asas seperti minyak masak, telur dan susu perlu ditambah dalam bantuan yang diberikan.

Katanya, penambahan itu perlu dilakukan kerana keadaan PKPD di situ berbeza, disebabkan kedai runcit ditutup dan pihak luar termasuk saudara serta penghantaran pesanan dalam talian juga tidak dibenarkan.

"Kalau macam beras lima kilogram tu, kalau ikutkan memang tak cukup. Kalau boleh tambah telur dalam 10 hingga 20 biji. Walaupun dapat tepung gandum satu kilogram, takkan hari-hari nak makan lempeng.

"(Mereka) Kena tambah telur, sardin tu bagi tin yang besar, minyak masak, ada susu pekat manis itu pun kami dah bersyukur," katanya.

Saringan dijalankan ke atas penduduk PKPD Desa Rejang. Gambar: Ihsan penduduk

Sementara tu, difahamkan terdapat penduduk yang sudah kehabisan bekalan bahan asas termasuk minyak masak dan terpaksa meminjam daripada jiran.

PKPD Perumahan Rejang bermula Jumaat lalu sehingga 1 Julai depan melibatkan lebih 12 blok pangsapuri dengan anggaran 12,000 penduduk.

Ia susulan 264 kes positif COVID-19 dilaporkan daripada 3,512 saringan dengan kadar positif 7.52 peratus.