KUALA LUMPUR:Kerajaan digesa untuk mengkaji dan memikirkan strategi jangka panjang serta yang lebih berkesan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah pengesanan secara besar-besaran (mass testing/pooled testing) dan pengesanan kontak yang lebih berkesan amat diperlukan ketika ini berbanding penggunaan aplikasi MySejahtera.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pembangkang menggesa kerajaan untuk bersikap telus berhubung data selain menjelaskan titik punca sebenar penularan jangkitan khususnya melibatkan pekerja warga asing.

"Kementerian Kesihatan (KKM) nyatakan mereka sedang mengkaji kaedah ‘pooled testing’, namun belum ada kaedah dan panduan mengenainya.

"Negara-negara lain telah membuktikan kaedah ini lebih berkesan daripada hanya mengawal pergerakan. Justeru, saya ulang ketelusan sangat penting saat ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

 
Sumber Facebook anwaribrahim.keadilan

Beliau mengulas berhubung pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) yang akan berkuatkuasa Rabu ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan didesak agar lebih telus terkait realiti kewangan dan ekonomi negara dan bagaimana dana dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, bagaimanapun malangnya, pengumuman terbaharu (PKP 2.0) itu akan terus memberi kesan kepada sektor perniagaan dan aktiviti ekonomi yang masih belum kebah dari dampak beberapa PKP sebelum ini sejak Mac tahun lalu.

"Banyak perniagaan, terumatanya Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) atau Industri Kecil dan Sederhana (IKS) masih belum menerima subsidi upah dan mungkin tidak lagi tertampung dengan kesan pandemik.

"Langkah terkini hanya menjadi titik kritikal pada perniagaan-perniagaan yang di ambang penutupan.

"Ramai yang akan kehilangan kerja. Ramai yang akan dihempap kemiskinan. Kerajaan digesa untuk mengumumkan segera peruntukan sebanyak RM500 juta untuk dua minggu seterusnya termasuk bantuan-bantuan lain seperti subsidi upah dan bantuan untuk perniagaan atau perusahaan yang terjejas," katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan untuk mengawal ketat dan tegas melalui prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak cenderung kepada mana-mana pihak tanpa mengira pangkat, jawatan mahupun kecenderungan politik.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah membuktikan kepada kita semua bahawa virus ini tidak mengira sesiapa saja," ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan juga mesti mengarahkan semua untuk segera melaksanakan kembali moratorium pinjaman sehingga diberitahu kelak.

"Langkah dan pengumuman ini mesti dibuat segera. Selain kesan pandemik, beberapa negeri juga kini dibebani dengan masalah banjir dan perlukan bantuan segera.

"Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mesti dipantau rapi bagi memastikan pelaksanaan SOP yang ketat dan mencegah kewujudan kluster-kluster baru.

"Inilah masanya untuk menonjolkan kepimpinan yang bertanggungjawab, dan kerajaan harus sedar daripada berkhayal supaya keadaan tidak semakin memburuk.

"Rakyat amat-amat berhak dan memerlukan kepimpinan yang lebih baik dan tegas saat ini," katanya lagi.