Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan pertama dilakukan pada 11 pagi apabila menahan sebuah lori di Kampung Kedap menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
"Hasil pemeriksaan dalam lori dipandu lelaki berumur 41 tahun itu menemukan lebih 4,700 pokok puding, Masjutik Batik (800), Masjutik Hijau (1,000), Thong Urai (1,000), Oleandor (500) dan Sandpaper 1,200 dengan anggaran rampasan termasuk sebuah lori bernilai RM1.8 juta.
"Lelaki itu dipercayai menjadi penghantar tanaman terbabit ke Melaka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam kejadian 9.15 malam hari yang sama, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dekat Gual Tinggi dan merampas lebih 5,000 anak pokok keruing dengan anggaran rampasan termasuk sebuah lori bernilai RM2.5 juta.
Nik Ros Azhan berkata lelaki berkenaan dipercayai menjadi penghantar tanaman berkenaan ke Jerantut, Pahang.
"Kesemua tanaman yang dirampas dipercayai diseludup dari Thailand dan disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit. Semua barang rampasan bersama kedua-dua suspek telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976," katanya.
-- BERNAMA
