PGA rampas 10 kambing dimuat dalam guni cuba diseludup masuk dari negara jiran
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 10 ekor kambing bernilai kira-kira RM10,000 cuba diseludup masuk dari negara jiran.
Bernama
Sun Nov 24 2024
Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 10 ekor kambing dimuatkan di dalam guni, dengan berat keseluruhan kira-kira 400 kilogram. - Foto FB PGA Briged Tenggara
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 10 ekor kambing bernilai kira-kira RM10,000 cuba diseludup masuk dari negara jiran, semasa menjalankan sekatan jalan raya di Banggol Kong, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata haiwan itu ditemukan selepas pihaknya menahan sebuah pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun pada 10.30 pagi.
"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 10 ekor kambing dimuatkan di dalam guni, dengan berat keseluruhan kira-kira 400 kilogram. Kambing itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan suspek serta barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.