KOTA KINABALU:Peruntukan tambahan diperlukan bagi memulihkan sepenuhnya industri pelancongan di negeri ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri Sabah mengenai COVID-19, berkata proses pemulihan sektor itu memerlukan masa yang panjang dan peruntukan yang lebih besar.

"Usaha pemulihan semula pertumbuhan sektor-sektor ekonomi termasuklah sektor pelancongan bukanlah mudah, ia memerlukan perancangan teliti dan menyeluruh serta masa yang praktikal untuk dicapai serta sudah pasti memerlukan jumlah kos yang besar.

"Sebelum ini kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM25 juta setahun kepada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi merancakkan semula sektor tersebut.

"Namun akibat pandemik COVID-19 ini proses pemulihan sepenuhnya industri pelancongan di negeri ini memerlukan peruntukan tambahan," katanya menerusi sidang media maya dan menjawab soalan berkenaan peruntukan yang diperlukan negeri itu susulan pandemik COVID-19.

Masidi menjelaskan Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sedang dalam proses menyediakan anggaran peruntukan yang diperlukan melalui Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan yang diwujudkan di bawah STB.

"Sebagai kesimpulan, bukan mudah untuk menganggarkan jumlah peruntukan sebenar yang diperlukan untuk memulihkan semula industri pelancongan memandangkan isu-isu berkaitan hambatan serta kesukaran sebenar hanya akan diketahui apabila kegiatan-kegiatan rantaian ekonomi berkaitan pelancongan mula beroperasi kelak," katanya.

Berdasarkan unjuran oleh Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) sebelum ini, sekurang-kurangnya empat tahun diperlukan untuk memulihkan sektor pelancongan negara yang terjejas akibat penularan COVID-19.