KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyokong pendirian tegas kerajaan Persekutuan dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menolak sebarang tuntutan terhadap Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), justeru sebarang tuntutan luar terhadap negeri itu tidak akan diiktiraf sama sekali oleh rakyat.

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan pendirian Malaysia dengan jelas, sama dengan pendirian kita selama ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 29 Julai, Kementerian Luar mengulangi pendirian kerajaan bahawa Sabah sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia dan sebarang tuntutan terhadap Sabah tidak akan diiktiraf.

Kementerian itu mengulas mengenai satu video tular dalam media sosial yang memaparkan kandungan tidak berasas dan mengelirukan yang mempersoalkan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.

Hajiji berkata kerajaan negeri menyokong penuh tindakan dan kenyataan daripada kementerian bahawa kandungan video itu tidak berasas dan mengelirukan.

"Kami yakin bahawa Kementerian Luar akan menyiasat perkara itu secara menyeluruh dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan," katanya.

Beliau turut mengulangi bahawa Sabah sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta komuniti antarabangsa telah mengiktiraf Sabah sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963.

-- BERNAMA