Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata penerokaan itu antara usaha berterusan dan agresif bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebagai tambahan kepada sumber sedia ada.
"Sabah dikelilingi Laut Cina Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes yang berpotensi tinggi untuk penerokaan dan pembangunan Ekonomi Biru.
"Pada Oktober nanti, kerajaan negeri akan menganjurkan seminar bertaraf antarabangsa berkenaan "The Blue Economy", yang dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Sabah di sini, hari ini.
Program julung kali diadakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga presiden parti dengan kehadiran kira-kira 14,000 orang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Selain Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, majlis itu turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Christina Liew dan Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Hadir sama, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Ewon Benedick, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Datuk Arthur Joseph Kurup, dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud.
Hajiji berkata Kerajaan Sabah akan terus mendokong dasar pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya selari dengan semangat gagasan Malaysia MADANI yang menginginkan negara pesat membangun, berperanan tinggi di peringkat global sekali gus menjadi negara yang dihormati dan disegani.
Sabah menjadi tumpuan pelabur dengan membawa masuk nilai pelaburan mencecah RM12 bilion sejak dua tahun lepas, hasil corak kepimpinan negara yang dinamik serta mesra pelabur, katanya.
Hasil kemasukan pelabur domestik dan asing, Hajiji berkata ribuan peluang pekerjaan ditawarkan kepada anak muda Sabah dengan kewujudan Taman Perindustrian Kota Kinabalu serta Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang.
Hajiji berkata hasil hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan, Sabah mengikat kerjasama strategik dengan PETRONAS dengan memeterai perjanjian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang memberi banyak peluang serta manfaat kepada negeri itu termasuk penyertaan lebih besar dalam sektor minyak dan gas.
Mengenai miskin tegar, beliau berkata kerajaan Sabah bertekad menangani isu itu secara proaktif dengan menawarkan pekerjaan kepada golongan sasar melibatkan penyertaan beberapa agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak swasta termasuk para pelabur.
"Langkah proaktif ini telah berjaya menurunkan jumlah miskin tegar di Sabah kepada hanya 1,147 Ketua Isi Rumah setakat Julai tahun ini. Pendekatan agresif ini akan terus kita laksanakan bagi menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah.
"Tetapi bilangan rakyat termasuk dalam kategori miskin masih ramai di Sabah yang memerlukan pembelaan berterusan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya.
-- BERNAMA