KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah RM1.25 bilion terhadapnya membabitkan projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan yang dijadual didengar esok, ditangguhkan ke 12 Julai kerana lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn ketika dihubungi berkata tarikh itu ditetapkan semasa prosiding pengurusan kes melalui aplikasi Zoom hari ini di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Nur Azizah Jaafar.

"Ia akan didengar di mahkamah terbuka seperti yang dimohon pasukan pembelaan Rosmah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan," katanya.

Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju memberikannya kepada pasukan pembelaan.

Rosmah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lepas.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 Nov 2018, hari Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas.

Sebaliknya surat itu bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani oleh Peguam Negara ketika ini iaitu Tan Sri Idrus Harun.

Sementara itu, bagi perbicaraan pembelaan Rosmah yang dijadual didengar pada 15 dan 16 Jun, Poh berkata mahkamah telah menetapkan tarikh baharu pada 15 Julai.

Pada 18 Feb 2021, Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah dan menetapkan sembilan hari iaitu 9,10,15,16,17,22, 23 Jun serta 12 dan 15 Julai untuk mendengar keterangan Rosmah serta saksi pembelaan lain.

-- BERNAMA