Pada 8 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi, di sini, membenarkan permohonan ex-parte bagi injunksi mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) iaitu plaintif pertama dan kelima dalam saman terhadap Najib dan beberapa individu lagi.
Peguam Wong Chee Lin yang mewakili 1MDB ketika dihubungi berkata, pada prosiding secara dalam talian hari ini, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad turut menetapkan tarikh sama untuk pendengaran permohonan inter-parte bagi injunksi mareva.
"Mahkamah turut melanjutkan injunksi ad interim yang diperoleh Najib sehingga pendengaran permohonan injunksi mareva didengar dan diputuskan," katanya.
Injunksi mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.
Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman, namun, sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.
Perintah itu juga menyatakan Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya bernilai sehingga US$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara di bawah nama beliau sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama dengan defendan lain.
1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified selaku plaintif manakala Najib, Terrence Geh Choh Heng (bekas Pengarah Kewangan 1MDB), Jasmine Loo Ai Swan (bekas peguam 1MDB), Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif 1MDB), Vincent Beng, Radhi Mohamad (Ketua Pegawai Operasi 1MDB) telah dinamakan sebagai defendan dalam saman itu.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kelvin Tan Kay Jim (bekas Pengarah Pelaburan) dan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd).
Saman US$8 bilion itu adalah antara 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih US$23 bilion bagi pihak 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International, terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan tersebut. - BERNAMA