KUANTAN: Penyampai Berita Astro AWANI, Nursyazwani Saiful Sham pada Khamis berjaya mencipta rekod dengan membaca buletin secara langsung selama setengah jam pada ketinggian 104 meter dari aras laut.

Rekod dicipta apabila beliau membacakan Buletin AWANI jam 12 tengah hari dari pelantar terbuka menara Kuantan 188, di sini.

Selama 30 minit dan bersiaran secara langsung, Nursyazwani membacakan berita-berita tempatan dan antarabangsa berlatar belakangkan pemandangan serta alam semulajadi ibu kota Pahang itu.

Sepanjang bersiaran, hanya angin kencang dan cuaca panas menjadi cabaran kepada Nursyazwani dan kru teknikal siaran luar untuk mencatat kejayaan mencipta rekod tersebut.

"Saya rasa gembira apabila Astro AWANI, lebih khusus hos penyampai AWANI Pagi berjaya mencipta rekod membacakan buletin secara langsung, bukan rekod lebih awal, selama setengah jam di altitude 104 meter di menara Kuantan 188, yang menjadi menara kedua tertinggi di Malaysia dan paling tinggi di Pantai Timur."

"Saya juga gembira semuanya berjalan tanpa sebarang masalah," kata Pengurus Besar Kuantan 188, Khalisa Azman kepada Astro AWANI.

Beberapa insiatif telah dan akan digerakkan untuk menambahkan bilangan pengunjung ke Kuantan 188 sejak ia dirasmikan pada 2021 oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah. - Foto Astro AWANI

Bagi Nursyazwani pula, kejayaan mencipta rekod membaca berita dalam keadaan sedemikian banyak mengujinya untuk mencabar diri sendiri lebih-lebih lagi dalam memastikan penyampaian berita yang lancar, tepat dan sekali gus memberi kesan kepada penonton Astro AWANI.

"Berbeza membaca berita di studio, bersiaran luar dengan altitude yang tinggi pula, cabarannya adalah perlu mengawal rasa gayat, pada masa sama perlu memastikan ia (rasa gayat) tidak mengganggu tumpuan dalam menyampaikan berita, yang sudah pasti jika ia berlaku, akan menjejaskan siaran yang sedang berlangsung," katanya yang mengharapkan lebih banyak peluang untuk bersiaran luar dengan pendekatan kreatif yang lain pula pada masa akan datang.

Hasil pencarian dan penyelidikan maklumat mendapati, setakat ini, di Malaysia, tiada rekod rasmi mengenai penyampaian berita secara langsung dari menara pada ketinggian 100 meter atau lebih.

Walaupun menara seperti Menara Kuala Lumpur digunakan untuk tujuan penyiaran televisyen dan radio, penyampaian berita biasanya dilakukan dari studio yang direka khas untuk penyiaran.

Selebihnya, kebanyakan penyiaran adalah rakaman awal yang disiarkan kemudian dan bukannya siaran secara langsung dari lokasi.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaaan, Pemasaran dan Jualan Kuantan 188, Abdul Jamil Mohamed pula berkata, beberapa insiatif yang telah dan akan digerakkan untuk menambahkan bilangan pengunjung ke Kuantan 188 sejak ia dirasmikan pada 2021 oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong.

"Program siaran langsung Buletin AWANI di mana penyampainya, Nursyazwani membaca berita selama setengah jam pada ketinggian 104 meter, yang juga bakal tercatat sebagai rekod di Kuantan 188 dan negara ini, menjadi salah satu aktiviti dan produk yang kita rasakan begitu unik, menjadikan Kuantan 188 berlainan dengan menara-menara lain yang ada ada di negara ini.

Selama 30 minit dan bersiaran secara langsung, Nursyazwani membacakan berita-berita tempatan dan antarabangsa berlatar belakangkan pemandangan serta alam semulajadi ibu kota Pahang itu. - Foto Astro AWANI

"Kita jamin, banyak lagi program menarik dan ada kelainan akan dibuat bagi memastikan matlamat menambah bilangan pengunjung ke Kuantan 188 tercapai, lebih-lebih lagi pada tahun depan semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan juga Tahun Melawat Malaysia pada 2026," kata beliau.

Kuantan 188, yang dinamakan sempena ketinggiannya 188, sebelum ini dikenali sebagai Menara Teruntum.

Ia adalah menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur dan paling tinggi di Pantai Timur.

Di Kuantan 188, para pelancong boleh menikmati pemandangan panorama bandar dan Sungai Kuantan, sementara yang mahu merasai keseronokan menyirap darah boleh mencuba aktiviti seperti "Sky Walk" dan "Drop Zone" sama seperti yang terdapat di Menara Macau dan Taipei 101 selain keriangan aktiviti Zipline untuk anak-anak sekolah.