PENAMPANG: Pengecualian Sabah dan Sarawak daripada penyasaran subsidi diesel bukan disebabkan permintaan kerajaan kedua-dua negeri.

Sebaliknya, menurut perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia dilakukan berdasarkan keperluan rakyat Sabah dan Sarawak yang menggunakan bahan api itu secara lebih meluas berbanding di Semenanjung.

"Kita kecualikan Sabah dan Sarawak bukan kerana Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang minta. Tetapi kerana penggunaannya yang meluas berbanding di Semenanjung, dan bukan kerana kita pililh kasih," kata Anwar.

Katanya lagi, penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan ketika ini dan pelarasan tarif elektrik pada tahun lalu telah berjaya menjimatkan kira-kira RM8 bilion nilai subsidi yang diberikan kerajaan dalam tempoh setahun.

Tambahnya, pelarasan tarif elektrik yang diperkenalkan pada tahun lalu berjaya menyelamatkan kira-kira RM4.5 bilion wang kerajaan, manakala RM4 bilion melalui penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024, di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini.