KUANTAN: Semua penjawat awam negeri Pahang menerima insentif RM1,200 yang akan dikreditkan ke dalam akaun pada minggu ketiga Januari ini, melibatkan peruntukan RM9.6 juta, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, insentif itu melibatkan 8,000 penjawat awam daripada semua gred dan untuk rekod, jumlah itu meningkat daripada insentif yang diberikan pada tahun lepas, iaitu RM1,000 seorang.

"Ini adalah sebagai penghargaan kepada kakitangan awam di Pahang dan kerajaan negeri tidak pernah melupakan jasa dan komitmen penjawat awam, dalam memastikan agenda pembangunan negeri dan masyarakat tercapai," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan 2022 bertemakan 'Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera' pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, dengan lebihan sebanyak RM5.97 juta iaitu belanjawan lebihan kali ke-19 negeri sejak tahun 1992.

Belanjawan itu menyediakan peruntukan berjumlah RM1.031 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM323.26 juta bagi perbelanjaan pembangunan, manakala kutipan hasil pada tahun hadapan disasarkan sebanyak RM1.036 bilion, dengan hasil tanah dijangka memberikan kutipan tertinggi.

Pencapaian membanggakan

Setakat 6 Disember lepas, Pahang mengutip hasil sebanyak RM812.41 juta berbanding sasaran RM800.80 juta, yang disifatkan Wan Rosdy sebagai pencapaian yang sangat membanggakan dan menepis dakwaan pihak yang mengatakan kedudukan kewangan negeri tidak kukuh.

Tahun 2022 pula menurut Wan Rosdy, akan menjadi tahun pemulihan ekonomi selepas teruk dibadai pandemik COVID-19, dengan ekonomi negeri diunjur pulih secara berperingkat, antara lain menerusi aktiviti pelancongan, pertanian, perladangan, perlombongan dan perindustrian.

"Kerajaan negeri bercadang melihat beberapa perkara melibatkan penggunaan utiliti yang boleh memberikan hasil tambahan, seperti melihat semula pelaksanaan projek hidroelektrik Ulu Jelai, bayaran laluan talian dan menara Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta infrastruktur telekomunikasi," katanya.

Selain itu, keperluan mengkaji semula perundangan dan perjanjian lama yang tidak menguntungkan seperti Enakmen Taman Negara (Pahang) 1939, yang masih mengekalkan caj masuk ke Taman Negara sebanyak RM1 sejak tahun 1939 juga akan dipertimbangkan.

"Cukai Kelestarian akan mula dikenakan kepada penginap hotel di Pahang dengan kadar RM3 semalam, sebagai hasil baharu pada tahun hadapan, dengan jangkaan kerajaan negeri menerima hasil sebanyak RM21 juta," katanya.

Bagi mengatasi masalah bekalan air, peruntukan sebanyak RM151.28 juta diberikan kepada projek pembangunan infrastruktur bekalan air pada tahun 2022, manakala RM10.35 juta diperuntukkan bagi rancangan pemulihan koridor di lembangan sungai bagi membantu mengatasi masalah banjir.

Sebanyak RM34.48 juta diperuntukkan bagi pengurusan dan penjagaan sumber hutan negeri, dengan keutamaan diberikan kepada aktiviti pemulihan dan melindungi biologi hutan, air dan tanah, selain RM1.05 juta diperuntukkan kepada pembinaan bilik gerakan kawalan Jabatan Perhutanan Pahang, yang boleh membuat pemantauan dalam masa sebenar menggunakan data imej satelit.

"Kerajaan negeri juga komited dengan menjadikan 1.6 juta hektar kawasan hutan di Pahang sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), iaitu 57 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan yang ada dan berharap pengekalan khazanah alam ini akan diganti dengan pampasan oleh Kerajaan Pusat," katanya.

Untuk tahun hadapan, kerajaan negeri juga melaksanakan Program Anak Kebanggaan Pahang dengan peruntukan RM5 juta, bagi memberi sagu hati RM200 kepada bayi yang dilahirkan pada tahun 2022 dengan RM100 dalam bentuk simpanan bank, manakala bakinya dalam bentuk barangan penjagaan bayi dan ibu sewaktu berpantang.

"Kerajaan negeri memperkenalkan Kad Pelajar Kebangsaan Pahang kepada semua ketua isi rumah B40 yang mempunyai anak masih bersekolah, bagi menikmati diskaun 20 peratus pada perbelanjaan keperluan sekolah, selain RM100 dikreditkan kepada setiap pelajar B40," katanya dan menambah seramai 48,711 pelajar dijangka menikmati manfaat itu.

Program pemeriksaan kesihatan percuma Cakna Suri yang sebelum ini melibatkan pemeriksaan mamogram bagi mengesan kanser payudara, kini diperluas kepada saringan kanser serviks dengan sasaran 6,000 penerima wanita B40.

Wan Rosdy berkata sebanyak RM2.7 juta diperuntukkan bagi pembangunan teknologi maklumat, selain melaksanakan Pelan Digital Pahang 2021-2025, antaranya melibatkan 96.9 peratus mendapat liputan jalur lebar 4G dengan kelajuan sehingga 35Mbps pada tahun depan, manakala projek rintis rangkaian 5G akan dilaksanakan di bandar Kuantan, Indera Mahkota dan KotaSAS.

Selain itu, bagi tahun depan juga, kerajaan negeri akan meneruskan peruntukan RM30 juta bagi Bantuan Prihatin Pahang dan RM40 juta untuk membantu usaha ke arah endemik COVID-19, selain memutuskan supaya remisyen kadar cukai pada tahun ini dikekalkan tahun depan, bagi membantu pemilik tanah dalam masa mencabar ini.

Bagi memperkasakan Orang Asli, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri menubuhkan Perbadanan Orang Asli (ORACO) dengan geran sebanyak RM1 juta, yang antara lain berperanan mengenal pasti tanah yang boleh dibangunkan untuk ekonomi golongan itu dan meminimumkan ketirisan kutipan hasil tanah yang dibangunkan oleh masyarakat Orang Asli.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA