PERCAYA atau tidak, masih ada kumpulan penjawat awam gred rendah menerima gaji permulaan sekitar RM1,216 sebulan.

Dengan kenaikan kos sara hidup yang kian mencabar, apatah lagi tinggal di bandar, pastinya jumlah itu tidak mencukupi, malah nilainya di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). 

Kali terakhir kadar gaji penjawat awam dinaikkan adalah pada 2013, iaitu membabitkan pemberian satu kenaikan gaji tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320. Ini bermakna lebih 10 tahun ia tidak disemak semula.

Sebagai satu keprihatinan kerajaan dalam terus menjamin kebajikan penjawat awam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu mengumumkan kajian semula sistem saraan perkhidmatan awam menerusi Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Langkah ini adalah satu inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam yang memayungi 1.6 juta warga perkhidmatan awam seiring dengan aspirasi Membangun Malaysia MADANI.

Hasil Kajian SSPA dijangka dibentang sekitar bulan ini. Seiring itu, keputusan penambahbaikan sistem struktur gaji penjawat awam dijangka diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 tahun ini.

Kajian berhubung sistem saraan itu dijalankan secara menyeluruh, yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Ia menerusi penggunaan teknologi dan kemahiran modal insan, prestasi penjawat awam dari aspek produktiviti yang mewajarkan gaji setimpal kepada penjawat awam.

Ini termasuk kesejahteraan golongan itu dalam menangani kos sara hidup dan kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan berkaitan perkhidmatan awam.




Lebih 13 peratus

Dalam memberikan jaminan untuk menawarkan gaji setimpal kepada golongan itu, Anwar mengumumkan kenaikan lebih 13 peratus, tertinggi dalam sejarah mulai 1 Disember tahun ini.

Pendapatan minimum penjawat awam beserta elaun ditetapkan pada kadar sekurang-kurangnya RM2,000 melibatkan implikasi kewangan sejumlah RM10 bilion.

Pada masa ini, pendapatan menyeluruh (termasuk elaun) minimum adalah pada kadar RM1,765 dan ia tentu sekali tidak munasabah.

Maka, kriteria ukuran baharu sistem saraan dengan pendapatan menyeluruh gaji dan elaun tetap mesti lebih dari RM2,000.

Anwar turut memberi jaminan kenaikan gaji penjawat awam kumpulan rendah akan mencecah 20 sehingga 40 peratus mengikut perincian sebenar walaupun pengumuman pada 1 Mei lalu hanya melibatkan kadar kenaikan lebih 13 peratus.

Sistem Kajian SSPA adalah bersifat lebih munasabah yang mana golongan penjawat awam pangkat tinggi akan naik sedikit, manakala mereka berpangkat rendah pula menikmati banyak kenaikan.

Bagaimanapun, kenaikan gaji itu akan dibuat berdasarkan penilaian prestasi serta tahap kecekapan penjawat awam bagi memastikan hanya mereka yang layak dan menunjukkan prestasi cemerlang sahaja menerima faedah tersebut.

Penjawat awam bermasalah tidak akan diberi layanan sama dalam mendapat ‘habuan’ daripada kerajaan dalam kenaikan gaji itu atas dasar memberikan keadilan kepada mereka yang bekerja bertungkus-lumus, berbanding mereka yang culas, malas dan lembab buat kerja akan dinafikan keistimewaan itu.

Bukan hanya soal kenaikan gaji, Kajian SSPA ini adalah bersifat komprehensif yang mana skop kajian ini adalah melibatkan pembangunan organisasi (struktur dan skim perkhidmatan); kemampanan saraan (struktur gaji, elaun dan kemudahan) serta pengurusan bakat (pelantikan, prestasi, kenaikan pangkat dan kemajuan kerjaya).

Ia bertujuan untuk menangani tiga cabaran semasa dalam perkhidmatan awam iaitu produktiviti perkhidmatan awam, pendapatan boleh guna yang tidak seiring peningkatan kos sara hidup serta kemampanan fiskal negara.

Keberhasilan yang disasarkan bagi kajian ini adalah perkhidmatan awam berprestasi tinggi, dinamik dan berintegriti bertunjangkan kepada matlamat bagi meningkatkan efisiensi, kos pengurusan optimum, peningkatan produktiviti dan kesejahteraan.

Dalam usaha itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diberi tanggungjawab dalam Kajian SSPA ini sedang memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh kementerian, jabatan dan agensi yang digerakkan setahun lalu.

Beberapa sesi libat urus dilaksanakan merangkumi enam kluster iaitu keselamatan, kesihatan, pendidikan, sains dan teknologi, teknikal serta pengurusan.

Bagi memastikan cadangan penambahbaikan yang diterima bersifat terangkum serta inklusif, JPA telah membangunkan portal khusus bagi menerima input daripada seluruh penjawat awam melalui portal Kajian SSPA menerusi laman sesawang  https://semakansaraan.jpa.gov.my.

Setakat ini, sejumlah 126,596 cadangan diterima melibatkan 48,032 responden dengan 10 skim perkhidmatan penyumbang tertinggi cadangan termasuklah daripada kumpulan penolong pegawai perubatan, farmasi dan jururawat selain kumpulan paling ramai berbuat demikian adalah dalam kalangan pembantu tadbir meliputi 15.3 peratus.




Waktu tepat

Skim baharu saraan perkhidmatan awam ini adalah waktu tepat untuk menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam.

Hampir setiap tahun mereka menunggu dan kini harapan besar daripada seluruh kakitangan awam kepada kerajaan untuk melonjakkan status sosioekonomi mereka.

Sebagaimana pandangan Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakob, kenaikan gaji ini tepat pada masanya kerana gaji sektor awam tertinggal di belakang syarikat milik kerajaan (GLC) dan sektor swasta yang lebih tinggi.

“Kenaikan ini dapat mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat, memperbaiki mutu kerja dan perkhidmatan serta memastikan kebajikan mereka diutamakan.

“Imej dan prestasi penjawat awam akan bertambah cemerlang kerana ini boleh dianggap satu ‘tonik’ untuk melonjakkan setiap aspek perkhidmatan mereka sepanjang tempoh bertugas,” katanya.

Sudah tentu, penjawat awam berharap Kajian SSPA tahun 2024 bakal menghadiahkan hasil terbaik terhadap skim gaji kerajaan sekali gus memberikan implikasi positif kepada golongan ini yang sekian lama menantikan ‘pemugaran’ kedudukan gaji semasa dilaksanakan.

Seiring dengan tuntutan penyampaian sektor awam masa kini yang mahukan keberhasilan di luar kelaziman, semestinya suntikan imbuhan setimpal adalah sesuatu yang munasabah.



* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.