Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, setiap anggota perkhidmatan awam diseru supaya bijak berbelanja biarpun menikmati pelarasan kadar gaji baharu sebanyak lapan peratus bermula Disember 2024.
Menurutnya, tiada keperluan bagi anggota perkhidmatan awam membuat pinjaman baharu ataupun pinjaman bertindih atas pinjaman lama kerana dikhuatiri menjejaskan peningkatan produktiviti akibat terbelenggu dengan hutang yang melampau.
"Walaupun mereka merasakan ini adalah hak mereka dalam membuat pinjaman baharu ataupun overlap, Cuepacs menyarankan 'jangan' dan 'tidak' kepada pinjaman kecuali kepada pinjaman perumahan untuk masa hadapan mereka.
"Pinjaman bersifat peribadi ini memang banyak yang tersasar daripada matlamat asal mereka, justeru itu janganlah terjebak dengan peningkatan gaji ini menyebabkan ada ruang untuk mereka membuat pinjaman baharu ataupun pinjaman bertindih, Cuepacs tetap menyatakan tidak kepada semua jenis pinjaman," katanya.
Beliau ditemui media ketika hadir ke Perhimpunan Bulanan Warga Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Muda di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdul Gafar Yahya.
Sebaliknya, Adnan menegaskan agar anggota perkhidmatan awam mengekalkan kadar perbelanjaan biarpun terdapat kenaikan gaji menerusi pelaksanaan SSPA.
"Kekal 'maintain' dalam perbelanjaan biasa walaupun gaji naik malah hendaklah fokus kepada masa hadapan keluarga dalam bentuk penyediaan kemudahan terutama perumahan yang belum mereka miliki," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa terdapat 3,000 penjawat awam di seluruh negara diisytiharkan muflis setelah dibebani hutang melampau ketika ini.
Menerusi pelaksanaan SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim berkenaan, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Disember 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Januari 2026.
Sementara itu, bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2, menerusi SSPA yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim 16 Ogos lalu. -- Sinar Harian