KUALA LUMPUR: Sebuah lori 10 tan tanpa muatan terbabas merempuh tembok penghadang Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di Sentul di sini dan seripihan penghadang pecah dan terjatuh menghempap sebuah kereta yang diletakkan di bawah lebuh raya itu, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian dipercayai berlaku pada 1.40 tengah hari selepas batu konkrit itu jatuh akibat dirempuh sebuah lori.

"Lori yang dipandu warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh tembok penghadang itu.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kereta yang terlibat diparkir di bawah lebuh raya itu," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zamzuri berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kereta Perodua Kenari yang terlibat remuk di bahagian kanan akibat ditimpa serpihan tembok penghadang lebuh raya tersebut.

Pengawal keselamatan di sekolah berhampiran lokasi kejadian Nor Azley, 52, berkata mendengar bunyi dentuman kuat menyebabkannya berlari keluar dari pondok tempat dia bertugas untuk memeriksa apa yang berlaku.

"Saya lihat batu penghadang itu sudah menimpa kereta yang diletakkan di hadapan laluan masuk sekolah sebelum sebuah lagi bongkah batu jatuh.

"Bimbang jika ada lagi bongkah batu jatuh, saya menutup laluan ke lokasi bagi mengelakkan lebih ramai menghampiri kawasan ini sementara menunggu ketibaan polis," katanya.

Pemilik kenderaan Khairuddin Osman, 58, berkata beliau hanya mengetahui tentang kejadian selepas pulang dari menunaikan solat Jumaat sekitar 2 petang apabila melihat orang ramai berkumpul di tempat dia meletakkan kereta, yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

-- BERNAMA