Ringkasan AI
- Penggubal undang-undang perlu memastikan dana politik dikawal dengan lebih telus dan berintegriti bagi mencegah penyalahgunaan kuasa, kata Tan Sri Azam Baki.
- SPRM menegaskan kepentingan pematuhan kod etika oleh ahli politik serta tindakan proaktif untuk membendung ketirisan dana awam dan konflik kepentingan.
- Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2024 kekal di tangga ke-57, menunjukkan lebih banyak usaha diperlukan untuk membanteras rasuah.
Beliau berkata kawalan secara telus dan berintegriti itu perlu memandangkan politik wang boleh membawa kepada risiko penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.
"Dalam memastikan pentadbiran kerajaan lebih bersih dan efektif, SPRM menegaskan keperluan pematuhan kod etika oleh ahli politik serta tindakan proaktif dalam membendung ketirisan dana awam dan konflik kepentingan.
"Langkah ini penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan serta memastikan kesejahteraan negara terpelihara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azam berkata SPRM telah mengadakan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan bertemakan 'Komitmen Bersama: Memperkasa Dasar Governans, Integriti dan Antirasuah', semalam.
Beliau berkata sesi libat urus itu diadakan bagi memberi kefahaman lebih mendalam mengenai peranan penggubal undang-undang Dewan Undangan Negeri dalam memperkukuh integriti dalam pentadbiran kerajaan, selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Sementara itu, Azam berkata kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 kekal di tangga ke-57 sama seperti 2023, yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan banyak lagi usaha perlu dilaksanakan bagi membanteras rasuah dan memerlukan komitmen semua pihak.
"Prestasi CPI Malaysia tahun ini dianggap sebagai satu cabaran kepada SPRM untuk melipatgandakan usaha dan komitmen mencapai tangga ke-25 dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Kerjasama erat antara kepimpinan negeri dan masyarakat diperlukan bagi memperkukuh agenda antirasuah demi kepentingan negara," katanya.
-- BERNAMA
