KAJANG: Seorang pengasuh di sebuah taska mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan seorang bayi perempuan berusia 17 bulan yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal, bulan lepas.


Ringkasan AI
  • Pengasuh taska, Nor A'in Ismail, 24, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mendedahkan seorang bayi perempuan berusia 17 bulan yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
  • Nor A'in didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Hakim Mazuliana Abdul Rashid membenarkan Nor A'in diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
  • Pemilik taska, Chan Pei Kuan, 34, didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku menjalankan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak didaftar di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.


Nor A'in Ismail, 24, yang hamil lapan bulan, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras di sini pada 4.15 petang 28 Mei lepas mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain bagi membolehkan pendakwaan mengemukakan laporan perubatan.

Peguam Wan Guan Hui pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak memiliki rekod jenayah dan tidak berisiko melarikan diri.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid membenarkan Nor A'in diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu keluarga mangsa.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 Julai ini untuk mendengar laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

Sementara itu, pemilik taska iaitu Chan Pei Kuan, 34, pula didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku menjalankan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak didaftar di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Chan didakwa melakukan perbuatan itu pada 7.30 malam tarikh sama mengikut Seksyen 6 (1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz mengarahkan Chan, yang turut diwakili Wan, dihukum penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim.

-- BERNAMA