SEMATAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti keperluan menjalankan ujian penilaian psikometrik secara tahunan kepada pengusaha dan pengasuh taska berdaftar, kata menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.


Ringkasan AI
  • KPWKM akan jalankan ujian psikometrik tahunan bagi pengusaha dan pengasuh taska berdaftar untuk pastikan kesihatan mental mereka.
  • Nancy Shukri menggesa ibu bapa semak sama ada taska berdaftar di bawah kementerian sebelum menghantar anak ke sana.
  • Ujian psikometrik diwajibkan sekali sebagai ujian kemasukan dalam bidang taska, dan kini dikemaskini bagi menilai kesihatan mental pekerja.


Beliau berkata, dengan mengemas kini keputusan ujian psikometrik, ia membolehkan pihaknya mengetahui tahap kesihatan terkini pekerja bidang taska, khususnya kesihatan mental mereka yang menjadi antara aspek penting dalam mengendalikan golongan kanak-kanak.

"Dalam pada kita nak naik taraf sistem, kita juga menyeru kepada mereka yang hendak menghantar anak supaya semak dahulu sama ada taska itu berdaftar atau tidak di bawah kementerian sebelum menghantar anak mereka ke situ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Siri Satu dan Sambutan Hari Denggi Asean Bahagian Kuching di Kampung Pueh, di sini, pada Sabtu. 

Ujian psikometrik dijalankan sebagai instrumen mengukur personaliti, kesihatan dan kesejahteraan diri, kompetensi emosi serta pengurusan konflik bagi mengukur kemampuan calon dalam memastikan prestasi baik dalam pekerjaan.

Di Malaysia, penilaian psikometrik diwajibkan hanya sekali sebagai ujian peringkat kemasukan kepada golongan yang mahu terlibat dalam bidang taska.

Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Siri Satu itu bertujuan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif kepada warga penduduk di kawasan berkenaan.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang dan ADUN Tanjung, Datu Azizul Annuar Adenan. - BERNAMA