KUALA LUMPUR: Pengarah hospital disaran melakukan pemantauan berterusan terhadap setiap ketua unit di hospital masing-masing, terutamanya apabila terdapat aduan mengenai masalah penyeliaan yang berlaku di antara doktor pakar dan doktor pelatih. 

Pakar Ekonomi, Polisi dan Pengurusan Kesihatan, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, School of Medicine, IMU University. Prof Datuk Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, langkah itu bagi mengelakkan kelesuan dalam kalangan kakitangan kesihatan awam.

"Pertama sekali, kita tahu bahawa pakar-pakar di negara ini kebiasaannya tidak memiliki latihan intensif dalam aspek pengurusan.

"Akibatnya, tindakan yang diambil terhadap doktor muda kadang-kala bersifat agak keras. 

"Kedua, kita juga harus memahami bahawa doktor-doktor muda hari ini mempunyai daya tahan yang lebih rendah.

"Oleh itu, penting untuk kita memahami bagaimana cara terbaik untuk menangani kumpulan ini," jelasnya dalam program AWANI Pagi pada Selasa.

Doktor pelatih alami tekanan, siapa perlu pantau?

Justeru beliau berpandangan bahawa isu dakwaan buli yang berlaku dalam kalangan doktor pelatih perlu ditangani secara sistematik.

Ini termasuk memastikan para penyelia diberikan latihan yang mencukupi agar mereka lebih bersedia dalam menguruskan doktor muda secara efektif.