Sebarang bentuk penganjuran program atau karnival perlu menjadi landasan merapatkan hubungan penduduk pelbagai agama, kaum dan bangsa di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Shaid Rosli berkata, ia sekali gus perlu memberi hasil kepada mengukuhkan perpaduan, menyemai semangat harmoni dan meningkatkan kerjasama masyarakat dengan agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan.

Jelasnya, hubungan itu termasuk bentuk komuniti yang dahagakan kemajuan dan pembangunan.

“Tidak kira di mana sahaja, sebarang penganjuran program perlu menjamin kepada pembentukan keharmonian dan perpaduan yang terus mekar serta bertambah kukuh dengan merapatkan jurang antara masyarakat untuk dapat hidup aman dan selesa sambil menolak fahaman yang ekstrem.

“Ia juga perlu bertujuan menyemai nilai-nilai harmoni bersempena sambutan hari kebesaran negara yang disambut pelbagai kaum seperti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Oleh itu jelasnya, Karnival MyJeram 2019 yang akan diadakan ada 27 hingga 29 September ini di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram, Bandar Puncak Alam, Selangor bakal menjadi karnival terbesar di Selangor sempena Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Karnival berkenaan juga dianjurkan secara bersama oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dan akan dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.



Pelbagai program dan acara telah dirangka dalam program selama tiga hari itu dengan antaranya ialah wacana intelek, bicara usahawan bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan pesta buku.

Acara sukan turut diadakan termasuklah 'wall climbing', Sawit Ride Cycling, seni pertahankan diri, Zumba Perdana, pertandingan seni silat dan silat olahraga kebangsaan.

Program untuk kanak-kanak turut diadakan seperti 'petting zoo', taman riang ria kanak-kanak, pertandingan mewarna, pertunjukkan Upin Ipin dan pertandingan Beyblade.

Pelbagai hadiah serta cabutan bertuah termasuklah motosikal menanti pengunjung yang hadir karnival berkenaan.

Selain itu, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut menyertai karnival tersebut seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sebagainya yang menawarkan perkhidmatan kepada penduduk di Jeram.

Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung program berkenaan diminta menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram di talian 03-3396 0036.