1. Insiden yang berlaku baru-baru ini di antara artis K-Pop yang dijemput oleh penganjur ke Malaysia telah meninggalkan kesan yang sangat memalukan kepada rakyat Malaysia khasnya umat Islam apabila kita melihat gadis melayu Muslim antara mereka yang dilihat obses terhadap artis K-Pop berkenaan. Perlakuan tidak senonoh di hadapan umum ini sememangnya boleh dijangka apabila konsert yang dianjurkan tidak menimbangkan kelebihan manfaat berbanding keburukan kesan daripada penganjuran konsert berkenaan. Itulah sebabnya Islam melarang penganjuran hiburan yang boleh melalaikan kerana kesan dari kelalaian itu lebih besar keburukannya.

2. Dalam kes ini, penganjur harus bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan dengan apa yang berlaku. Dan atas tanggungjawab yang besar ini Jakim telah sedari awal mengambil inisiatif menerbitkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam; terbitan Jakim sejak tahun 2007. Namun, sejauhmanakah Garis Panduan ini diberi perhatian dan dirujuk oleh semua agensi dan penganjur program? Konsert ini adalah sama sekali tidak dirujuk kepada Jakim malah Jakim juga tidak dimaklumi akan penganjuran program ini.

3. Saya menyeru agar mana-mana penganjur dan mereka yang terlibat meluluskan meletakkan tanggungjawab yang serius mempertimbangkan kebaikan dan keburukan dalam penganjuran sesuatu aktiviti sebelum menganjurkan sesuatu. Semua maklum masa depan muda mudi masyarakat Malaysia merupakan tanggungjawab besar dan modal insan negara ini. Secara dasarnya bagi Jakim sebagaimana yang dikehendaki tuntutan agama, mana-mana acara yang bertentangan dengan moral, akhlak Islami, tatasusila dan budaya negara ini tidak wajar dibenarkan.

4. Begitu juga kepada pemuda pemudi yang mempunyai pilihan menentukan program untuk dihadiri. Peliharalah akhlak dan harga diri. Jangan menunjukkan sikap yang melampau sampai sanggup membiarkan diri diperlakukan apa sahaja oleh artis yang disanjung. Tiada istilah kebebasan dan hak peribadi dalam melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak dan boleh menjelekkan pandangan masyarakat umum. Sebaliknya mereka perlu ada rasa malu dalam diri dan pemakaian bersyariat sebagai benteng mencegah rasa malu.

5. Walaupun pihak kerajaan sedaya upaya menyediakan pelbagai bentuk aktiviti dan program untuk remaja dan belia namun pemantauan dan didikan dari ibubapa juga adalah penting bagi menasihati dan mengawal aktiviti anak-anak dari terjerumus kepada aktiviti yang tidak sihat.

6. Saya telah mengarahkan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan yang sewajarnya memandangkan JAWI adalah pihak berkuasa agama di peringkat Wilayah Persekutuan.

7. Jakim turut difahamkan pihak PUSPAL (Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) akan memanggil pihak penganjur dan bagi perkara tersebut Jakim sedia memberi kerjasama.

------------------------------------------------------------------------------
Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Pengarah JAKIM, Dato' Haji Othman Mustapha pada 12 Januari 2015.