BENTONG: Edaran Otomobil Nasional (EON) Berhad sedang memposisikan diri sebagai lebih daripada sekadar penyedia kereta, dengan berkembang menjadi penyedia perkhidmatan kereta secara menyeluruh.

Seiring dengan masa, EON Berhad yang kini memasuki tahun ke-40, ingin meluaskan rangkaian perkhidmatan termasuk pembiayaan kereta, insurans, perkhidmatan selepas jualan, dan penyelenggaraan kenderaan.

Semenjak 1984, syarikat ini telah memainkan peranan penting dalam industri automotif negara, terutamanya sebagai pengedar dan peruncit kenderaan jenama nasional negara, Proton untuk tempoh yang lama.

Ketua Pegawai Esekutif EON Berhad, Akkbar Danial berkata evolusi ini menandakan komitmennya menyampaikan pengalaman yang lebih bersepadu dan lancar untuk pelanggannya.

“Ini termasuk dengan memanfaatkan kepakarannya yang luas dalam sektor automotif, EON Berhad kini mahu menjadi destinasi sehenti untuk semua perkara yang berkaitan dengan pemilikan kereta

“Kami mahu menjadi lebih daripada sekadar pembekal kereta, kami berhasrat untuk menyokong pelanggan kami sepanjang keseluruhan perjalanan pemilikan kereta mereka,” katanya.

Tidak mahu ketinggalan dalam arus perubahan, beliau dalam pada itu berkata dalam mendepani cabaran dalam dunia automotif yang pantas berkembang, pihaknya bersedia meningkatkan penjualan kereta elektrik (EV) dan memperkukuhkan pengalaman digital pelanggan.

“Ini termasuk memperluaskan penawaran kereta elektrik dengan pengenalan sebuah ruang pameran khas untuk kenderaan EV E-Mas oleh Proton.

“Selain memfokuskan kepada efisiensi platform digital yang memudahkan proses pembelian, pembiayaan, dan penyelenggaraan kereta secara dalam talian,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, pelanggan kini hanya boleh untuk melawat ke mana-mana ruang pameran dan galeri kenderaan miliknya untuk menikmati pengalaman ini secara percuma, dan turut berpeluang untuk menyewa kenderaan yang ingin dibeli bagi meningkatkan tahap keyakinan sebelum membuat tempahan kenderaan.

Antara model EV yang turut diperkenal ialah Smart #1, yang menekankan ciri keselamatan pemanduan moden yang melangkaui model sedia ada.

Beliau ditemui Astro AWANI dalam program EON & Sahabat Media Getaway 2024 yang berlangsung selama dua hari di Pahang.

Untuk memastikan kerelevanannya dalam industri automotif, pelbagai variasi jenama kenderaan turut diperkenalkan dalam progam berkenaan yang menekankan kepada pengalaman pengguna.